Tuesday, June 2, 2009

Bahaya Seragam Doa

Bahaya Seragam Doa

Renungilah maksud surah al-Kafiruun :

[1] Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai orang-orang kafir!
[2] Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah.
[3] Dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) yang aku sembah.
[4] Dan aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat.
[5] Dan kamu pula tidak mahu beribadat secara aku beribadat.
[6] Bagi kamu agama kamu dan bagiku agamaku.

Menurut ulama' tafsir bahawa surah ini diturunkan apabila kaum kafir Quraisy yang tidak mampu melawan hujah kebenaran wahyu yang dibawa oleh nabi Muhammad s.a.w lalu mereka mahu membuat satu perjanjian dengan nabi iaitu mereka sanggup melakukan ibadat dalam menyembah Allah sebagaimana yang dilakukan oleh nabi dengan syarat nabi pun mesti beribadat pula dengan cara mereka menyembah berhala.Selepas itu turunlah surah ini bagi menyatakan bahawa Islam tidak boleh berpakat dalam masalah aqidah dan ibadat.

Pada hari ini pula kita dikejutkan dengan cadangan untuk seragamkan doa di sekolah kebangsaan lantaran daripada bantahan ibubapa bukan Islam yang tidak berpuas hati apabila anak mereka terpaksa mengaminkan doa yang dibaca mengikut ajaran Islam.Masalah ini nampak kecil dan remeh tetapi melibatkan masalah aqidah yang mesti dipertahankan dan dalam masa yang sama perlu diselesaikan dengan cara hikmah dengan orang bukan Islam. Apa yang paling baik dibuat ialah agar doa asal dikekalkan dengan diberi pengecualian kepada pelajar atau guru yang bukan Islam. Di samping itu mestilah dibuat penjelasan terbaik mengenai perkara ini kepada orang bukan Islam dan sebaiknya lagi dipanggil para ulama' Islam dengan ahli agama bukan Islam untuk duduk semeja bagi mengambil kata putus terbaik mengenai masalah ini dan beberapa masalah yang lain. Ketegasan umat Islam banyak keadaan merupakan antara cabang dakwah yang boleh membuka hati bukan Islam untuk bertanya tentang mengapakah ada perkara dalam Islam yang tidak boleh disepakatkan dan ada pula yang boleh. Jika umat Islam terus tunduk pada tempat yang tidak sepatutnya begitu akan menyebabkan aqidah dan kesucian umat Islam akan dicemari dan tergugat.

Dalam ceramahnya pada malam 12 Julai di Ampangan, Seremban, Yg. Bhg Dato Dr Hj Harussani bin Hj Zakaria(Mufti Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan)menjelaskan bahawa beliau telah memberikan ulasan beliau kepada pihak akhbar mengenai kenyataan arahan bahawa Kementerian Pendidikan Malaysia akan menyeragamkan doa di sekolah agar sesuai untuk semua agama. Namun kenyataan beliau hingga ke semalam belum dikeluarkan lagi. Beliau menyatakan sekiranya doa tadi tidak menyebut nama Allah hanya disebut Tuhan, maka Tuhan bagi penganut Hindu ialah Tuhan mereka (Brahma atau apa-apa), maka sekiranya guru dan pelajar Islam mengaminkannya maka boleh membawa kepada syirik dan seterusnya murtad.

Banyak perkara sekarang ini dianggap kecil tetapi besar padahnya. Pernah seorang sami Hindu mengadu pada Mufti Perak mengapa acara Thaipusam begitu dibesar-besarkan hingga dijadikan tarikan pelancong. Menurut sami Hindu tadi Thaipusam dalam arti sebenar bukan begitu hanya sekadar bayar nazar dan cucuk sedikit lidah, bukannya menyiksa diri, Thaipusam yang ada tadi menurut sami tadi membawa riak. Mufti Perak juga menasihatkan agar orang Islam tidak melawat dan menyaksiakan Thaipusam kerana boleh juga membawa syirik dan murtad.

No comments: