Thursday, February 9, 2012

BERKAT SELAWAT

BERKAT SELAWAT

UNTUK AMALAN KITA BERSAMA SUPAYA KITA SAMA-SAMA MENDAPAT KEREDHAAN ALLAH SWT.

“Au zubillah himinashsyaitan nirrajim … bismillahirrahmannirrahim”

Aku berlindung dengan Allah daripada syaitan yang direjam, dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.

Dalam satu cerita yang lain mengenai perkara selawat juga, bahawa seorang wanita telah bermimpikan anaknya yang baru mati. Dilihatnya anaknya sedang disiksa dengan amat berat sekali.

maka wanita itu sangat sedih ketika meningatkan mimpi yang dilihatnya, dan dia terus menangis dan menangis memohon ALLAH agar diampunkan dosa anaknya itu.

Sekali peristiwa sedang dia berada di kuburan anaknya itu, tiba-tiba datang seorang lelaki yang compang-camping keadaannya. Dia berdiri dihadapan kubur-kubur itu, lalu berselawat keatas Nabi saw, sebanyak-banyaknya kemudian dia menghadiahkan pahalanya kepada sekalian ahli kubur di situ, dan dia pun pergi.

Pada malamnya, wanita itu bermimpi lagi akan anaknya, dan kali ini mimpinya agak berlainan sedikit. Iaitu dilihatnya anaknya sedang dalam cahaya dan bahagia mengecap segala kenikmatan ALLAH. Maka wanita itu bertanya kepada anaknya tentang perubahan nasib yang diterimanya sekarang, apa sebabnya?

Lalu anak itu memberitahu bahawa semua itu ialah kerana berkat selawat orang salih yang baru datang ke kuburan itu, yang telah berselawat ke atas Nabi saw, lalu dihadiahkan pahala selawatnya itu kepada sekalian ahli kubur, dan nasibnya dari pahala itulah telah mendapat segala kebahagian yang di kecapi sekarang ini.

Moral: Marilah kita perbanyakkan selawat ke atas Rasulullah agar mendapat syafaatnya di dunia dan di akhirat, Insyaallah.

Maulidurrasul satu kewajipan

Sambutan Maulidur Rasul. Ulama' sepakat harus kita menyambutnya melainkan ada unsur-unsur yang menjadikan ia sambutan yang haram. Seperti hari-hari lain, kita perlu sentiasa diingatkan dengan sesuatu peristiwa agar menjadi tauladan sepanjang zaman. Sebab itu, wujudnya sejarah, arkib untuk kita kembali mengingati peristiwa yang besar dan bersejarah, dan yang paling utama Maulidur Rasul, ia merupakan hari yang paling kita kenangi, ingati dan sanjung setiap tahun. Ia bukan hari ulangtahun raja, ulangtahun perkahwinan, ulangtahun jubli mana-mana organisasi, tetapi hari memperingati lahirnya manusia agung, kekasih Allah, manusia yang memberi syafaat, manusia yang dikasihi para nabi dan rasul sebelumnya. Cumanya, jangan hanya meniti dibibir, berarak keliling jalan, berzanji ditengah kepanasan, diberi anugerah tetapi hanya satu kepenatan berbuat demikian sekiranya tanpa diteruskan dengan amalan yang dituntut oleh Nabi Muhamad SAW.
Maulidur Rasul adalah satu tanda kita menyintai Rasul SAW. Bukan sekadar semasa hari lahir baginda, bahkan sepanjang hari, setiap detik dan saat kita sentiasa mengingati jerih baginda dan sentiasa menanam dalam jiwa menyintai baginda. Firman Allah yang bermaksud : "Dan barangsiapa yang mentaati Allah dan Rasul mereka itu akan bersama-sama dengan orang yang dianugerahi nikmat oleh Allah iaiti nabi-nabi, para siddiqin, syuhada' dan orang-orang yang soleh. Dan mereka itu teman yang sebaik-baiknya". (An Nisa' ayat 69). Baginda bukan untuk dipuja, untuk disembah tetapi sebagai panduan, murabbi sepanjang masa. Hikmahnya, Allah mewafatkan baginda bagi membuktikan bahawa Nabi Muhamad SAW juga rasul, juga pesanan Abu Bakar kepada sahabat baginda agar tidak mendewakan Rasul SAW kerana ditakuti mereka akan sesat.
Baginda adalah pemimpin bagi orang yang taat, benar, ikhlas dalam memperjuangkan dakwah dan Agama Islam. Hanya mereka yang mengasihi Rasul SAW sedar akan kekurangan diri seterusnya sentiasa menjaga tingkahlaku agar tidak mengguris perasaan Rasul SAW. Manusia perlu menganjak perubahan minda agar lebih efektif dan dinamik, pembentukan syaksiah seiring dengan ilmu yang dipelajari agar tidak menjadi 'korban' atau musibah dari ilmu yang dipelajari.
Mencintai Rasul SAW menjadi satu kewajipan dalam konteks ketaatan, menjadi inspirasi dalam konteks dakwah, sebagai silibus dalam prinsip kehidupan sama ada suka ataupun tidak. Umar Al Khatab pernah ditanya oleh Rasul SAW terhadap siapa yang paling engkau cintai, maka Umar lah. tidak menyebut Rasul SAW, lalu Rasul SAW menegur dengan sabdanya :"Tidak beriman seseorang sehingga dia mencintai aku lebih daripada dirinya sendiri". Lalu Umar menukar pengakuan dengan mengatakan beliau mencintai Baginda melebihi diri sendiri dan sanak saudara. Penghayatan nilai-nilai nabawi inilah yang berjaya membawa watak yang setia, jujur dan beriman dikalangan sahabat baginda. Dengan ini, kita dapat membina seorang insan yang berjiwa kental, beramanah, berbudaya ilmu, berfikiran dinamik, berdaya saing, berperikemanusiaan dan sentiasa menanam semangat roh jihad yang menjadi asas kekuatan Tamadun Islam berkurun lamanya pada masa yang lampau. Semua ini adalah pengajaran yang didapati dari sirah perjuangan dan keperibadian Nabi Muhamad SAW.
Maulidur Rasul, hari yang penuh berakah ini disebut oleh Ibn Kathir dalam kitabnya bahawa "Malam kelahiran Nabi Agung ini adalah satu malam yang penuh berkat, penuh kemuliaan, keagungan, alam yang diterangi cahaya yang indah serta seluruh makhluk bergembira pada saat tersebut. Inilah malam yang tidak ternilai harganya bagi pengikut setia Nabi Muhamad SAW. Sesungguhnya Allah dan para malaikat sentiasa berselawat ke atas Rasul SAW melalui firman Allah yang bermaksud :"Hai orang-orang yang beriman, berselawatlah kamu ke atas Nabi Muhamad SAW dan berilah salam dengan kesungguhan yang nyata". (Al Ahzab ayat 56). Ini merupakan sanjungan Allah terhadap Muhamad SAW dihadapan para malaikat.
Akhirnya, marilah kita sama-sama memohon kepada Allah agar mengukuh landasan yang dibina dan ditinggalkan oleh baginda SAW tidak diseleweng dan dicantas serta dihalang oleh mereka yang takut pada perjuangan Islam. Menjadikan kita sebagai pengikut setia yang sentiasa memahami apa yang diperintah dan menjauhi segala larangan baginda dan menghimpunkan kita daripada umatnya di akhirat agar baginda mengaku diri kita adalah sebahagian dari umatnya dan kita minta dijauhkan menjadi mereka yang tidak digolongkan dari umat Muhamad SAW. Nauzubillah min zalik. Perayaan Maulidur Rasul ini adalah tanda kasih sayang kita kepada Baginda SAW dan rasa rendah diri dan terima kasih atas nikmat Islam yang kita rasai sekarang. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhamad SAW yang memberi penyuluh dan syafaat kita di dunia dan akhirat. InsyaAllah