Monday, November 29, 2010

KERANA SIKAP HILANG PERPADUAN

Dalam mencapai perpaduan hidup bermasyarakat dan bernegara, manusia tidak terlepas dari menghadapi rintangan dan halangan. Halangan-halangan itu ada yang berpunca dari dalam diri seseorang individu itu sendiri dan tidak kurang juga datangnya dari luar diri manusia sendiri sama ada sesama manusia atau makhluk Allah yang lain iaitu syaitan.


Sifat sombong dan bangga diri sendiri sering menjadi penghalang utama bagi seseorang untuk menerima pendapat atau buah fikiran orang lain. Sikap ini akan mendorong berlakunya keretakan dan perpecahan baik di peringkat rumahtangga, keluarga, masyarakat dan bernegara. Sikap sombong sering membawa individu atau kumpulan melakukan keganasan dan kekerasan kepada orang lain. Akhirnya ia mencetuskan permusuhan dan peperangan. Allah mengutuk manusia yang bersikap demikian.

Berlaku tidak jujur atau bersifat keras terhadap orang lain sering menimbulkan rasa tidak puashati dan dendam antara sesama manusia, lebih-lebih lagi antara yang memerintah dengan yang diperintah. Perbuatan keras akan merenggangkan perhubungan dan menghapuskan perasaan kasih sayang dan hormat menghormati antara satu sama lain. Dalam sebuah hadith, Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:

'Seorang Muslim itu adalah bersaudara dengan muslim yang lain. Dia tidak boleh menganiayainya dan tidak boleh menyerahkannya (kepada musuhnya)...'

(Muttafak ‘alaihi)

Perbuatan suka mengintip dan menyebarkan keburukan orang lain juga merupakan punca yang menghalang perpaduan. Sesungguhnya tidak ada sesiapa yang suka dirinya diintip dan juga tidak rela apa jua keburukannya didedah dan dihebahkan yang boleh menjatuhkan maruah dan air mukanya. Islam memberi perhatian tentang perbuatan keji seumpama ini. Dalam hubungan ini, Allah dan Rasul-Nya mengingatkan umat Islam supaya menjauhi perbuatan intip mengintip dan mengumpat keji sesama sendiri. Allah berfirman yang bermaksud:

'Wahai orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan daripada sangkaan, kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan dan keaiban orang lain dan janganlah setengah kamu mengumpat akan setengah yang lain...'

(Surah al-Hujurat : 12)

Selain daripada perbuatan mengumpat dan mendedahkan keburukan orang lain menjadi faktor penghalang perpaduan, perbuatan suka menghina dan merendah-rendahkan orang lain dengan memberi gelaran-gelaran yang hina juga adalah faktor penghalang perpaduan yang utama dalam masyarakat umat Islam hari ini termasuklah di kalangan umat Islam di Malaysia. Nama-nama serta gelaran yang buruk ini lebih ketara dalam ucapan ahli-ahli politik ketika memburuk-burukkan lawannya di musim kempen pilihanraya, termasuklah ucapan mereka yang mendakwa diri mereka sebagai pejuang-pejuang Islam tulen. Gelaran-gelaran sebagai 'thghut', 'fir’aun' dan sebagainya sering diberikan kepada individu atau pihak-pihak tertentu. Berkenaan hal ini, antara lain Allah berfirman yang bermaksud:

'...Dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengah yang lain, dan janganlah pula kamu panggil memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk...'

(Surah al-Hujurat : 11)

SALAH FAHAM DENGAN AJARAN SEBENAR

keamanan dalam firman Allah S.W.T.yang bermaksud:

Tidaklah Aku utuskan engkau wahai Muhammad melainkan menjadi rahmat kepada seluruh alam.

(al-Anbia’ : 107)

Jika ada umat Islam yang menyeru ke arah perpaduan ia akan dituduh berkepentingan politik. Hasilnya apa sahaja langkah yang diwujudkan untuk perpaduan sering dipandang remeh dan persenda-sendakan.
Dengan itu muncullah dewasa ini golongan yang kurang berhikmah dalam melaksanakan beberapa pendekatan untuk kepentingan umat Islam.
 Sebagai contoh, jihad bagi mereka adalah menghalalkan darah sesama umat Islam yang tidak sealiran dengan mereka. Sedangkan jihad menurut yang difahami oleh Islam mempunyai kepelbagaian sudut dan tujuan, mengikut suasana dan keperluan semasa
Maka kita sebagai umat Islam yang masih dapat menilai “antara kaca dengan permata” tentu tidak mahu melihat keadaan ini wujud.
Ajaran yang dibawa oleh Rasulullah diselewengkankan yang hasilnya umatnya akan dihina dan lebih malang lagi agama Islam akan dipinggirkan daripada arus globalisasi dunia.
 Sedangkan umat Islamlah yang sepatutnya menjadi juara keamanan dan kemakmuran.
Pertelagahan yang berlaku sesama umat Islam turut mengundang musuh-musuh Islam untuk mengambil kesempatan “menangguk di air keruh”. Islam (agama yang semestinya dilihat mengajak kepada keamanan) dilihat di kacamata musuh sebagai agama yang membawa kepada kemunduran, dan kerosakan dan perpecahan. Justeru melalui perpecahan yang ada pada umat Islam lalu diambil kesempatan oleh musuh untuk menikam secara berdepan. Demikianlah perkiraan dan perancangan mereka.