Thursday, February 9, 2012

Maulidurrasul satu kewajipan

Sambutan Maulidur Rasul. Ulama' sepakat harus kita menyambutnya melainkan ada unsur-unsur yang menjadikan ia sambutan yang haram. Seperti hari-hari lain, kita perlu sentiasa diingatkan dengan sesuatu peristiwa agar menjadi tauladan sepanjang zaman. Sebab itu, wujudnya sejarah, arkib untuk kita kembali mengingati peristiwa yang besar dan bersejarah, dan yang paling utama Maulidur Rasul, ia merupakan hari yang paling kita kenangi, ingati dan sanjung setiap tahun. Ia bukan hari ulangtahun raja, ulangtahun perkahwinan, ulangtahun jubli mana-mana organisasi, tetapi hari memperingati lahirnya manusia agung, kekasih Allah, manusia yang memberi syafaat, manusia yang dikasihi para nabi dan rasul sebelumnya. Cumanya, jangan hanya meniti dibibir, berarak keliling jalan, berzanji ditengah kepanasan, diberi anugerah tetapi hanya satu kepenatan berbuat demikian sekiranya tanpa diteruskan dengan amalan yang dituntut oleh Nabi Muhamad SAW.
Maulidur Rasul adalah satu tanda kita menyintai Rasul SAW. Bukan sekadar semasa hari lahir baginda, bahkan sepanjang hari, setiap detik dan saat kita sentiasa mengingati jerih baginda dan sentiasa menanam dalam jiwa menyintai baginda. Firman Allah yang bermaksud : "Dan barangsiapa yang mentaati Allah dan Rasul mereka itu akan bersama-sama dengan orang yang dianugerahi nikmat oleh Allah iaiti nabi-nabi, para siddiqin, syuhada' dan orang-orang yang soleh. Dan mereka itu teman yang sebaik-baiknya". (An Nisa' ayat 69). Baginda bukan untuk dipuja, untuk disembah tetapi sebagai panduan, murabbi sepanjang masa. Hikmahnya, Allah mewafatkan baginda bagi membuktikan bahawa Nabi Muhamad SAW juga rasul, juga pesanan Abu Bakar kepada sahabat baginda agar tidak mendewakan Rasul SAW kerana ditakuti mereka akan sesat.
Baginda adalah pemimpin bagi orang yang taat, benar, ikhlas dalam memperjuangkan dakwah dan Agama Islam. Hanya mereka yang mengasihi Rasul SAW sedar akan kekurangan diri seterusnya sentiasa menjaga tingkahlaku agar tidak mengguris perasaan Rasul SAW. Manusia perlu menganjak perubahan minda agar lebih efektif dan dinamik, pembentukan syaksiah seiring dengan ilmu yang dipelajari agar tidak menjadi 'korban' atau musibah dari ilmu yang dipelajari.
Mencintai Rasul SAW menjadi satu kewajipan dalam konteks ketaatan, menjadi inspirasi dalam konteks dakwah, sebagai silibus dalam prinsip kehidupan sama ada suka ataupun tidak. Umar Al Khatab pernah ditanya oleh Rasul SAW terhadap siapa yang paling engkau cintai, maka Umar lah. tidak menyebut Rasul SAW, lalu Rasul SAW menegur dengan sabdanya :"Tidak beriman seseorang sehingga dia mencintai aku lebih daripada dirinya sendiri". Lalu Umar menukar pengakuan dengan mengatakan beliau mencintai Baginda melebihi diri sendiri dan sanak saudara. Penghayatan nilai-nilai nabawi inilah yang berjaya membawa watak yang setia, jujur dan beriman dikalangan sahabat baginda. Dengan ini, kita dapat membina seorang insan yang berjiwa kental, beramanah, berbudaya ilmu, berfikiran dinamik, berdaya saing, berperikemanusiaan dan sentiasa menanam semangat roh jihad yang menjadi asas kekuatan Tamadun Islam berkurun lamanya pada masa yang lampau. Semua ini adalah pengajaran yang didapati dari sirah perjuangan dan keperibadian Nabi Muhamad SAW.
Maulidur Rasul, hari yang penuh berakah ini disebut oleh Ibn Kathir dalam kitabnya bahawa "Malam kelahiran Nabi Agung ini adalah satu malam yang penuh berkat, penuh kemuliaan, keagungan, alam yang diterangi cahaya yang indah serta seluruh makhluk bergembira pada saat tersebut. Inilah malam yang tidak ternilai harganya bagi pengikut setia Nabi Muhamad SAW. Sesungguhnya Allah dan para malaikat sentiasa berselawat ke atas Rasul SAW melalui firman Allah yang bermaksud :"Hai orang-orang yang beriman, berselawatlah kamu ke atas Nabi Muhamad SAW dan berilah salam dengan kesungguhan yang nyata". (Al Ahzab ayat 56). Ini merupakan sanjungan Allah terhadap Muhamad SAW dihadapan para malaikat.
Akhirnya, marilah kita sama-sama memohon kepada Allah agar mengukuh landasan yang dibina dan ditinggalkan oleh baginda SAW tidak diseleweng dan dicantas serta dihalang oleh mereka yang takut pada perjuangan Islam. Menjadikan kita sebagai pengikut setia yang sentiasa memahami apa yang diperintah dan menjauhi segala larangan baginda dan menghimpunkan kita daripada umatnya di akhirat agar baginda mengaku diri kita adalah sebahagian dari umatnya dan kita minta dijauhkan menjadi mereka yang tidak digolongkan dari umat Muhamad SAW. Nauzubillah min zalik. Perayaan Maulidur Rasul ini adalah tanda kasih sayang kita kepada Baginda SAW dan rasa rendah diri dan terima kasih atas nikmat Islam yang kita rasai sekarang. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhamad SAW yang memberi penyuluh dan syafaat kita di dunia dan akhirat. InsyaAllah

No comments: