Tuesday, July 21, 2009

Maksiat Merupakan Peyakit

Maksiat ialah segala jenis perbuatan yang dilarang oleh Allah SWT dan syariat Islam yang mana pelakunya akan diberikan dosa oleh Allah SWT. Ia termasuk di dalam perbuatan keji dan kotor yang menjadi amalan syaitan. Orang yang melakukannya dikira sebagai orang yang berani menentang larangan dan melanggar perintah Allah. Antara contoh perbuatan maksiat ialah zina, judi, minum arak, melawan kedua ibubapa, melakukan kerja sia-sia seperti menggilai hiburan dan lain-lain lagi.

Trend terkini masyarakat Melayu/Islam ialah menggilai hiburan atau taksub terhadap hiburan. Kecenderungan masyarakat Melayu/Islam memuliakan program hiburan dari sehari ke sehari amat merimaskan dan membimbangakan orang yang sihat iman dan waras fikirannya. Terlalu banyak hiburan melampau yang ditayangkan di dalam rancangan televisyen yang boleh ditonton oleh masyarakat umum dan kanak-kanak.

Di sana sini, golongan remaja, kanak-kanak dan orang tua heboh menceritakan kegilaan dan taksub terhadap Akademi Fantasia, Malaysian Idol, Konsert Sureheboh TV3, Audition dan Who Will Win. Mereka secara terang-terangan menangisi peserta yang kalah di dalam pertandingan tersebut. Yang tua sama sahaja meratapi peserta yang diumumkan kalah. Lebih malang lagi yang muda berpesta tangisan dan berpeluk-pelukan dengan bukan mahram tanpa sedikitpun rasa segan silu dan bersalah. Yang berada di pentas juga berpeluk-pelukan tanpa mengenal sempadan dan batasan sebagai seorang Islam. Zaman para sahabat dahulu, mereka merintih dan menangis kerana tidak dapat turut serta berjuang di medan perang bersama Rasulullah SAW. Para sahabat menangis sedih jika tidak dipilih untuk berperang kerana terlepas satu peluang untuk mati syahid.
Remaja Melayu/Islam menangis sedih sambil berpelukan dengan bukan mahram kerana tidak menang dan terpilih sebagai penyanyi dan penghibur. Orang yang ada sedikit kewarasan dan saki baki iman di dada akan berdetik di hatinya untuk berkata: “apa sudah jadi dengan anak bangsaku”.(siri 1)bersambung

No comments: